Mungkin semua orang pernah merasa kehilangan. Aku juga pernah merasainya satu ketika dulu. Kehilangan datuk dan makcik yang aku kasihi sudah cukup membuatkan aku tidak kuat untuk melaluinya. Setelah hari -hari yang ku lalui dengan penuh kesibukan, tidak aku menyangka aku akan kehilangan seorang lagi insan yang paling aku sayang dalam dunia ini. Dialah tempat aku bercerita tentang hidup dan juga tempat aku mencuri kasih seorang insan bergelar datuk. Dari dia aku belajar menerima segala yang telah ditentukan oleh-Nya. Mungkin daripada pandangan orang lain berbeza dari apa yang aku rasa.Bagi aku dialah insan yang tak pernah berkata tentang keburukan orang lain, selalu berprasangka baik pada orang.Itulah sifatnya yang cuba menjadi ikutan untuk aku.Kasih sayang aku tidak tergambar dengan ape pun perumpamaan. TOK MON…itu adalah panggilan selayaknya untuk dia. Tapi bagi aku dan adik-adik, kami tidak betah memanggilnya sebegitu. Kami terbiasa dengan panggilan ATOK. Orang pasti bertanya, "dia tu atok kau ke?".Dan jawapan kami tetap sama."Ya".
Kehilangan Atok cukup membuatkan dunia ini seperti berhenti dari berputar. Berita yang aku terima dari panggilan seseorang yang berada ditempat kemalangan cukup membuatkan aku seperti tidak berpijak di bumi yang nyata. Aku hampir hilang punca. Lekas aku tersedar. Itulah qada’ dan qadar tuhan yang harus aku terima. Baru semalam telinga aku dihiburkan dengan suaranya. Senda gurau yang memang selalu wujud tatkala menerima panggilan dari Atok. Mengajak aku berkunjung ke rumahnya. "Atok tak balik benut la minggu ni. Along la jenguk atok kat sini." Dia ketawa.."Buat apa nak jenguk atok. Atok bukannya sakit." Aku menjawab dalam nada bergurau. Aku tak menyangka itulah panggilan terakhir yang aku terima darinya. Selepas ini tiada lagi panggilan yang boleh membuatkan aku tersenyum dan ketawa.
Kalaulah aku pergi ambil Atok awal dirumahnya untuk balik kekampung hari jumat tu, mungkin Atok tak kemalangan kan?? Seribu penyesalan bertandang dihati.
Aku kehilangan seorang teman berbicara, kehilangan seorang teman untuk berkongsi masalah. Juga kehilangan teman untuk sarapan pagi tiap kali aku ke Pasir Gudang jika ada tugas yang menuntut untuk aku kesana. Lepas ni siapa yang harus aku hubungi jika tersesat jalan di Johor Bahru? Atok kenapa terlalu awal atok meninggalkan kami. Atok pernah janji Atok akan memikul tandu semasa Along diarak di hari parkahwinan yang Along sendiri tak pernah terfikir bila hari itu akan datang.
Segalanya hanya tinggal kenangan. Tak disangka panggilan Atok sehari sebelum dia meninggal merupakan amanat terakhir darinya. Meninggalkan pesan supaya berbudi pada orang selagi masih ada kesempatan, jujur pada diri yang utama, jujur pada semua orang, amanah memikul tanggungjawab, dan yang paling penting sentiasa gembira dan ceria. Dia kata itulah awet muda yang paling mujarab.
Atok..semoga roh mu dicucuri rahmat dari-Nya. Along janji selagi hayat masih dikandung badan, doa Along sentiasa mengiringi Atok disana. Walaupun atok jauh, walau kita berada berlainan alam, atok tetap dihati. Suara atok tetap berkumandang setiap saat hidup ini. Pesan atok akan tetap kami jadikan sandaran dalam menjalani hidup. Al-Fatihah…

rindu atok sgt2..semoga roh atok dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman..
ReplyDelete